BATU PAHAT – Seorang pemandu cedera parah, tiga penumpang cedera manakala 20 lagi terselamat dalam kemalangan sebuah bas di kilometer 102.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.57 malam.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian pada jarak tujuh kilometer mendapati kemalangan melibatkan bas jenis Scania dan sebuah mesin tar jalan.
“Semasa kejadian bas berkenaan membawa 23 penumpang dan sedang menuju ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu bas iaitu seorang lelaki tersepit dan tiga penumpang cedera.
Katanya, pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum dikejarkan ke hospital menggiunakan EMRS.
Tambahnya, mangsa cedera yang lain dibawa dengan menggunakan ambulans.
Menurut beliau, secara keseluruhan 24 mangsa terlibat dalam kemalangan itu dan operasi tamat pukul 1.57 pagi tadi.- MalaysiaGazette
















