Poster yang mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluluskan kewarganegaraan pendatang China muncul semula.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas poster berunsur fitnah mendakwanya meluluskan kewarganegaraan pendatang China yang muncul semula.

Tegasnya, dakwaan tidak bertanggungjawab itu adalah berita palsu yang tidak boleh dijadikan sebagai senjata politik semata-mata.

“Sepanjang saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, saya telah menjelaskan fakta ini berserta data yang lengkap beberapa kali di Parlimen dan juga sesi bertemu media.

“Namun poster berunsur fitnah dan berbaur 3R ini muncul dan tular sekali lagi selepas penafian saya mengenai isu yang sama pada Mac tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Menurut beliau, proses kelulusan kewarganegaraan negara tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu.

Jelas Saifuddin Nasution, setiap permohonan tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta tapisan keselamatan yang ketat.

“Dakwaan kononnya saya “memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati” adalah fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan untuk membakar sentimen rakyat dan mengelirukan masyarakat,” tambahnya yang berkata poster itu pernah muncul pada Mac tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber yang sahih.

Ujarnya, penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.

Dalam masa yang sama, Saifuddin Nasution meminta pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu itu agar menghentikan segera tindakan tidak bermoral tersebut.

Katanya, semua pihak sepatutnya bersama-sama kerajaan mendepani cabaran semasa termasuk isu krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rakyat dan negara.

“Ini bukan masanya untuk menimbulkan keresahan, memainkan sentimen atau menambah beban rakyat dengan fitnah serta propaganda yang tidak berasas.

“Dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast