KUALA LUMPUR – Sistem subsidi petrol BUDI95 kekal diteruskan dan tiada isu penarikan subsidi RON95 melibatkan golongan T20 buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, perkara utama yang sedang diberi perhatian ketika ini ialah memastikan mekanisme subsidi dapat dilaksanakan secara mudah dan lebih tersusun.
Menurutnya, soal rasionalisasi subsidi memang sentiasa dibincangkan, namun pelaksanaannya perlu praktikal selain mengurangkan ketirisan.

“Tiada perubahan buat masa sekarang dan tiada persoalan untuk memotong subsidi bagi T20 ketika ini.
“BUDI95 adalah sistem yang mudah di mana rakyat Malaysia hanya perlu menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi dalam kuantiti terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), di sini hari ini.
Anthony berkata, Kabinet sebelum ini turut membincangkan pelaksanaan sistem berkenaan dalam tempoh panjang sebelum bersetuju supaya pendekatan yang digunakan lebih ringkas dan terus kepada rakyat.
Mengulas isu pihak tertentu yang mendakwa tercicir daripada sistem subsidi diesel, beliau mengakui tiada mekanisme yang mampu meliputi semua pihak sepenuhnya.
Bagaimanapun katanya, kebanyakan industri penting termasuk kenderaan komersial yang membawa barangan keperluan masih menerima subsidi pada kadar ditetapkan.
“Paling penting, bekalan diesel negara kekal stabil dan kita tidak berdepan masalah bekalan ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















