KUALA LUMPUR – Kira-kira lebih 10 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok pembangkang telah menyatakan minat untuk menyertai Rumah Bangsa di bawah inisiatif UMNO sekali gus mencetuskan perhatian dalam landskap politik semasa.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan perkembangan tersebut melibatkan wakil rakyat yang pernah bertembung dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya lalu.
“Mereka yang berstatus ahli Parlimen dengan ADUN juga amat berminat untuk menyertai kembali Rumah Bangsa. Ahli Parlimen daripada pembangkanglah. Yang bertanding lawan Barisan National dulu,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rang Undang-undang (RUU) MARA 2026 di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, hasrat berkenaan tidak boleh direalisasikan secara serta-merta berikutan kekangan undang-undang berkaitan Akta Lompat Parti yang masih berkuat kuasa.
“Kita ada sedikit halangan kita kepada yang berjawatan ahli Parlimen dan ADUN. Itu sedikit halangan kerana ada Akta Anti-Lompat Parti tapi mereka amat berminat untuk menyertai Rumah Bangsa,” jelasnya.
Menurut Asyraf Wajdi, beberapa siri pertemuan dan perbincangan telah diadakan bersama Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi meneliti setiap permohonan serta maklum balas daripada pihak yang terlibat.
“Kita sudah buat siri perjumpaan dengan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Itu maklum balas yang kita dapat daripada mereka,” katanya.
Untuk rekod, Rumah Bangsa merupakan inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyatukan orang Melayu serta membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti itu.
Setakat ini, lebih 10,000 permohonan telah diterima melalui inisiatif berkenaan. – MalaysiaGazette
















