Peguam, Rosli Dahlan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap peguam, Rosli Dahlan termasuk penahanan, pembekuan akaun bank serta larangan perjalanan adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.

Kes itu tercetus selepas Rosli yang sebelum ini dikaitkan sebagai peguam utama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa prosiding berkaitan 1MDB didakwa menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa.

Pada 24 Ogos 2023, Muhyiddin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan pertuduhan dihadapinya adalah ‘tidak dikenali di sisi undang-undang’.

Susulan itu, Rosli didakwa berdepan pelbagai serangan media berkaitan peranannya dalam prosiding berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman dalam penghakimannya hari ini memutuskan penahanan, tangkapan dan reman terhadap Rosli dibuat tanpa sebarang syak wasangka munasabah.

Mahkamah turut memutuskan perintah pembekuan akaun bank dikenakan terhadap Rosli adalah salah kerana pihak responden gagal mematuhi keperluan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Menurut hakim, siasatan berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang sepatutnya dimulakan terlebih dahulu sebelum tindakan pembekuan akaun dilakukan.

“Ini adalah contoh klasik salah laku agensi penguat kuasa yang membekukan akaun terlebih dahulu sebelum menjalankan siasatan,” katanya dalam penghakiman.

Mahkamah turut memutuskan larangan perjalanan dan sekatan keluar negara terhadap Rosli adalah tidak sah kerana ia tidak dibuat sebagai sebahagian daripada perintah pembekuan di bawah AMLA.

Prosiding itu bermula selepas Rosli memfailkan semakan kehakiman terhadap PDRM, Jabatan Imigresen, Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara susulan tindakannya dikaitkan dengan satu siasatan walaupun beliau hanya bertindak sebagai peguam dalam pertikaian terbabit.

Sepanjang prosiding, Rosli menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dalam perkara yang disiasat.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah certiorari bagi membatalkan pembekuan akaun bank Rosli, larangan perjalanan serta sekatan keluar negara yang dikenakan terhadapnya.

Selain itu, mahkamah mengisytiharkan tindakan tangkapan, tahanan dan reman terhadap Rosli sebagai terbatal dan tidak sah kerana dicemari ketidaksahan, ketidakpatuhan prosedur, mala fide serta penyalahgunaan kuasa.

Ketika prosiding, Rosli mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana membersihkan namanya daripada dakwaan yang menurutnya palsu.

“Ini kali kedua agensi penguat kuasa menyalahgunakan kuasa. Jika saya tidak mengambil tindakan, penyalahgunaan seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, pada April 2024, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid ketika membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman turut menyatakan terdapat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis berhubung tindakan terhadap Rosli.

Rosli diwakili peguam Chetan Jethwani, Harvinderjit Singh, Amiratu Al Amirat, Ho Yu Fei dan Shavitta Devis manakala Jabatan Peguam Negara diwakili Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast