Gambar hiasan

PENSYARAH belum sempat menghabiskan penerangan di hadapan kelas, sebahagian pelajar sudah mula menunduk melihat telefon pintar masing-masing.

Bukan kerana bosan atau hilang fokus, tetapi sedang “bertanya” kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) tentang penyelesaian kepada soalan yang sedang dibincangkan.

Situasi ini semakin biasa berlaku di institusi pendidikan hari ini. Malah, ada pelajar yang lebih dahulu mempercayai jawapan AI sebelum mendapatkan penjelasan daripada pensyarah sendiri.

Hanya apabila jawapan yang diperoleh tidak sama dengan contoh atau kaedah yang diajar di dalam kelas, barulah mereka mula bertanya kepada pensyarah.

Fenomena ini sebenarnya membuka satu persoalan besar terhadap masa depan pendidikan negara. Adakah teknologi membantu pelajar menjadi lebih bijak, atau secara perlahan-lahan menjadikan mereka semakin bergantung kepada jawapan segera tanpa proses berfikir yang mendalam?

Hakikatnya, AI bukanlah musuh kepada pendidikan. Teknologi ini banyak membantu mempercepat carian maklumat, memudahkan proses pembelajaran kendiri, membantu penulisan akademik malah membuka akses ilmu yang lebih luas kepada pelajar.

Dalam banyak keadaan, AI juga mampu menjadi alat sokongan yang baik kepada pensyarah dan pelajar jika digunakan secara beretika dan bijaksana.

Kerajaan sendiri sedang giat memperkukuh penggunaan AI dalam sistem pendidikan negara. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini menegaskan bahawa penggunaan AI merupakan antara elemen penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital negara, namun pendidikan karakter dan nilai murni perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi tersebut.

Malah, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim turut menyentuh kebimbangan terhadap kebergantungan pelajar kepada AI dan keperluan membina daya fikir kritikal dalam dunia pembelajaran yang semakin dipacu automasi.

Namun, apa yang lebih membimbangkan bukanlah penggunaan AI itu sendiri, tetapi budaya pembelajaran baharu yang semakin terbentuk dalam kalangan pelajar.

Ramai yang mahukan jawapan pantas tanpa melalui proses memahami konsep, membuat kesilapan, berhujah atau berfikir secara kritikal.

Dalam dunia digital hari ini, pelajar dibesarkan dengan budaya “segera”. Maklumat diperoleh dalam sepintas lalu, manakala video berdurasi seminit pun dianggap panjang. Kandungan pendek di TikTok dan Reels membentuk corak perhatian (attention span) yang singkat, sehingga proses pembelajaran yang memerlukan kesabaran mula dianggap melelahkan. Proses mencari jawapan kini dianggap lebih membebankan daripada mendapatkan jawapan itu sendiri.

Dalam konteks pendidikan, keadaan ini mencemaskan. Pendidikan bukan sekadar destinasi mendapatkan jawapan betul, tetapi pengembaraan memahami bagaimana jawapan itu terbentuk.

Pensyarah tidak sekadar menyuap fakta, tetapi melatih otot intelektual pelajar untuk menilai, berhujah dan menyelesaikan masalah.

Namun, budaya pembelajaran hari ini semakin berubah. Sebahagian pelajar tidak lagi selesa berdepan kekeliruan intelektual. Mereka mahu jawapan yang segera, tepat dan terus boleh digunakan tanpa perlu melalui proses berfikir yang panjang.

Apabila AI memberikan jawapan yang berbeza sedikit daripada contoh pensyarah, mereka mula meragui proses pembelajaran itu sendiri.

Dalam bidang seperti statistik, matematik atau pengaturcaraan misalnya, sesuatu masalah boleh diselesaikan melalui pelbagai kaedah.

Namun, sebahagian pelajar menjadi keliru apabila jawapan AI tidak sama sepenuhnya dengan langkah penyelesaian yang ditunjukkan di dalam kelas, walaupun konsep dan jawapan akhirnya masih betul.

Keadaan ini memperlihatkan bahawa sebahagian pelajar semakin bergantung kepada bentuk jawapan, bukan lagi memahami konsep di sebalik jawapan tersebut.

Lebih membimbangkan, budaya terlalu bergantung kepada AI boleh melemahkan keberanian pelajar untuk berfikir secara bebas dan melakukan kesilapan.

Sedangkan dalam proses pendidikan sebenar, kesilapan ialah sebahagian daripada pembelajaran. Pelajar yang pernah bergelut memahami sesuatu konsep lazimnya mempunyai kefahaman yang lebih mendalam berbanding mereka yang sekadar menerima jawapan segera.

AI boleh memberikan jawapan dalam beberapa saat, tetapi AI tidak semestinya membina kefahaman.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga pernah menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara kritis, berhujah dan menyuarakan pandangan berasaskan ilmu, bukan sekadar bergantung kepada hafalan semata-mata.

Kenyataan tersebut amat relevan dalam era AI hari ini. Cabaran terbesar pendidikan moden bukan lagi soal kekurangan maklumat, tetapi bagaimana membimbing generasi muda mengurus lambakan maklumat dengan kebijaksanaan dan kematangan berfikir.

Malaysia tidak boleh menolak perkembangan AI kerana teknologi ini merupakan sebahagian daripada masa depan dunia.

Kementerian Digital sendiri sedang memperluas pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran AI rakyat Malaysia agar negara tidak ketinggalan dalam ekonomi digital global.

Namun, dalam keterujaan mengejar teknologi, pendidikan tidak boleh kehilangan nilai kemanusiaannya. Kita mungkin mampu melahirkan generasi yang pantas mendapatkan jawapan, tetapi adakah kita masih berjaya melahirkan generasi yang mampu berfikir secara mendalam, berhujah dengan matang dan berani menghadapi kesilapan?

Dalam dunia yang terlalu pantas memberi jawapan, mungkin cabaran terbesar pendidikan hari ini bukan lagi mengajar pelajar mencari maklumat, tetapi memastikan mereka tidak lupa cara untuk berfikir sebagai manusia.

 

Oleh:

Dr. Norhaliza Abu Bakar,

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, UTHM Pagoh, Johor.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast