KUALA LUMPUR – Seorang penganggur ditahan polis selepas dipercayai mengugut ahli keluarga dan merosakkan harta benda dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai Besar, Tawau semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin bin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang apabila suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun itu dikatakan mengamuk selepas permintaannya mendapatkan wang RM5 untuk membeli rokok tidak dipenuhi ibunya.
Menurutnya, sebelum kejadian, ibu suspek sudah memberikan wang RM2 untuk tujuan sama, namun suspek bertindak marah sambil menendang perabot rumah dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Suspek kemudian bertengkar dengan adiknya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.
“Keadaan menjadi semakin tegang apabila suspek naik semula ke rumah dan mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum bertindak merosakkan bahagian pemegang motosikal menggunakan senjata itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, ibu suspek yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain kemudian membawa keluar seorang lagi anaknya sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir, Tawau.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan semasa kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mengancam keselamatan ahli keluarga dan orang sekeliling, sebaliknya menyelesaikan sebarang perselisihan secara baik serta mendapatkan bantuan pihak berkuasa jika keadaan tidak terkawal.- MalaysiaGazette
















