Foto: Ihsan PPM Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan minyak hitam pelbagai jenis yang disyaki tidak sah dalam satu serbuan di kawasan perindustrian Jalan Klang Banting, Jenjarom, Selangor, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Jaffri Bidin berkata, kejayaan itu hasil rondaan OP Landai yang dijalankan kira-kira jam 10.40 pagi apabila pasukan operasi terserempak dengan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan sebelum memasuki sebuah premis di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak hitam pelbagai jenis sedang dilakukan dari lori tangki ke tangki IBC yang berada di dalam premis tersebut.

“Pihak polis telah menahan dua lelaki berbangsa Cina yang bekerja di premis berkenaan serta seorang lelaki Melayu yang merupakan pemandu lori.

“Kesemua mereka berusia antara 34 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan itu membawa kepada rampasan dua buah lori tangki; 36 tangki IBC yang dipenuhi minyak; empat skid tank, empat mesin pam minyak; lapan hos minyak; dua forklift serta sebanyak 76,800 liter minyak pelbagai jenis.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM671,900,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat telah menyita premis berkenaan manakala lima sampel minyak pelbagai jenis dihantar ke Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,350 terhadap pemandu lori terbabit melibatkan sembilan kesalahan.

Jaffri turut menyeru masyarakat agar terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan ketirisan barang kawalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast