BEIJING – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping dijadual menangani pelbagai isu rumit yang memecahbelahkan dua kuasa besar dunia itu dalam pertemuan mereka di Beijing hari ini, dengan Iran, perdagangan dan Taiwan antara topik utama perbincangan.
Xi akan menyambut Trump dengan penuh istiadat pada jam 10 pagi (0200 GMT) di Great Hall of the People di sini, dalam satu sambutan besar yang menutupi ketegangan mendalam antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.
Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri jamuan negara di dewan tersebut pada sebelah malam, dan Trump dijadual melawat Temple of Heaven, tapak Warisan Dunia.
Presiden AS itu tiba untuk sidang kemuncak dua hari berkenaan menaiki Air Force One lewat Rabu bersama beberapa CEO terkemuka, termasuk Jensen Huang dari Nvidia dan Elon Musk dari Tesla, satu simbol kepada perjanjian perniagaan yang diharapkan Trump dapat dicapai.
Pada Jumaat, Trump dan Xi dijadual menikmati minum teh dan makan tengah hari sebelum Presiden AS itu pulang ke Washington.
Lawatan ke Beijing itu merupakan yang pertama oleh seorang Presiden AS dalam hampir sedekad, selepas lawatan Trump pada 2017, ketika itu ditemani isterinya, Melania Trump yang tidak ikut serta kali ini.
Selepas lawatan pertama itu, Trump melancarkan pelbagai tarif dan sekatan terhadap barangan China.
Beliau mengulangi tindakan sama selepas kembali ke Rumah Putih tahun lalu, mencetuskan perang perdagangan sebelum Xi dan Trump bersetuju mencapai gencatan sementara pada Oktober.
Trump berkata beliau menjangkakan “pelukan besar yang hebat” daripada Xi kerana percaya hubungan peribadinya dengan pemimpin China itu kukuh, malah pernah memuji Xi sebagai pemerintah China dengan “tangan besi”.
Keutamaan beliau termasuk mendapatkan perjanjian perniagaan dalam sektor pertanian, pesawat dan bidang lain, dengan kehadiran ramai tokoh perniagaan utama dalam delegasi AS.
Di atas Air Force One menuju ke Beijing, Trump berikrar di media sosial untuk mendesak Xi supaya “membuka” China kepada syarikat-syarikat AS “supaya individu-individu hebat ini dapat menunjukkan kehebatan mereka”.
Kementerian Luar China berkata pada Rabu bahawa mereka “mengalu-alukan” lawatan Trump dan “China bersedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk memperluas kerjasama dan mengurus perbezaan”.
Namun, Trump kini berdepan China yang berbeza dan lebih berani berbanding negara yang dilawatinya sembilan tahun lalu, dengan pelbagai ketegangan perdagangan dan geopolitik yang masih belum selesai antara kedua-dua negara.
Perang Iran khususnya dilihat berpotensi melemahkan kedudukan Trump dalam rundingan dengan Xi, selepas memaksanya menangguhkan lawatan itu dari Mac lalu.
Presiden AS itu berkata, beliau menjangkakan “perbincangan panjang” dengan Xi mengenai Iran, yang menjual sebahagian besar minyaknya yang dikenakan sekatan AS kepada China, namun menegaskan bahawa: “Saya tidak fikir kami perlukan bantuan mengenai Iran” daripada Beijing.”
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula memberi nada yang agak berbeza.
“Kami berharap dapat meyakinkan mereka supaya memainkan peranan lebih aktif untuk membuatkan Iran menghentikan apa yang mereka lakukan sekarang, dan cuba lakukan di Teluk Parsi,” kata Rubio kepada saluran Fox News dalam wawancara yang disiarkan pada Rabu.
Perang perdagangan yang berlarutan antara kedua-dua negara juga dijangka menjadi agenda utama, selepas tarif besar-besaran yang diperkenalkan Trump tahun lalu mencetuskan tindakan balas sehingga melebihi 100 peratus.
Trump dan Xi dijadual membincangkan lanjutan gencatan tarif selama setahun yang dicapai semasa pertemuan terakhir mereka di Korea Selatan pada Oktober, walaupun perjanjian itu masih jauh daripada pasti.
Mengenai Taiwan iaitu satu lagi isu yang membelenggu hubungan kedua-dua negara, Trump berkata pada Isnin bahawa beliau akan berbincang dengan Xi mengenai penjualan senjata AS kepada wilayah autonomi yang oleh China itu.
Langkah itu akan menyimpang daripada pendirian tradisional AS bahawa Washington tidak akan berunding dengan Beijing mengenai sokongannya terhadap wilayah tersebut, dan akan diperhatikan rapat oleh Taipei serta sekutu AS di rantau itu.
Kawalan eksport nadir bumi China, persaingan kecerdasan buatan (AI) dan hubungan perdagangan yang tegang antara kedua-dua negara juga dijangka dibangkitkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.
Kedua-dua pihak akan cuba mengakhiri sidang kemuncak itu dengan kejayaan masing-masing, sambil menstabilkan hubungan yang sering tegang antara Beijing dan Washington yang memberi implikasi global.
Trump juga berharap dapat meninggalkan Beijing dengan tarikh rasmi bagi lawatan balas Xi ke AS tahun ini, sebagai bukti hubungan rapat beliau dengan rakan sejawatnya dari China itu. – MalaysiaGazette
















