GEORGE TOWN – Kantin sebuah sekolah jenis kebangsaan di negeri ini diarahkan tutup selama 14 hari bermula semalam selepas pemeriksaan pihak kesihatan mendapati terdapat najis tikus.
Arahan penutupan itu dikeluarkan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 selepas pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 10.45 pagi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pemeriksaan dijalankan selepas pihak kesihatan selepas menerima aduan awam menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berkaitan masalah tikus di kantin sekolah terbabit.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat najis tikus di bahagian lantai belakang sebuah peti sejuk yang tidak digunakan di premis berkenaan.
“Penguat kuasa mengesahkan aduan diterima adalah sah sebelum mengeluarkan Perintah Penutupan Premis Makanan Tak Suci berkuat kuasa serta-merta selama 14 hari bermula 14 Mei hingga 27 Mei ini.
“Sepanjang tempoh itu, pihak sekolah akan melaksanakan kerja pembersihan dan sanitasi selain memastikan semua aspek kebersihan dipatuhi sebelum kantin dibenarkan beroperasi semula,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tanbah beliau, pihak sekolah turut mengambil langkah menyediakan bekalan makanan kepada murid menerusi pembekal makanan sepanjang tempoh penutupan kantin berkenaan.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco) Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, tindakan penutupan itu merupakan sebahagian usaha berterusan pihak berkuasa dalam memastikan aspek kesihatan awam sentiasa dipelihara, di samping mengelakkan risiko penularan penyakit berjangkit.
“Kita nak memastikan kebersihan di tempat penyediaan makanan dijaga dengan baik bukan saja di restoran malah kantin sekolah serta premis agensi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















