Azizee.

BUKIT MERTAJAM – Dua individu termasuk seorang bekas pengarah syarikat kerugian lebih RM2.6 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian dalam dua kes berasingan yang dilaporkan di Seberang Perai Tengah, semalam.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga jentera dan mengalami kerugian RM1.29 juta selepas diperdaya skim pelaburan dikenali sebagai Global Finance Trends XA.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa tertarik menyertai pelaburan itu selepas melihat iklan di Facebook pada Mac lalu.

Menurut beliau, mangsa kemudian menekan pautan pada iklan tersebut sebelum dihubungi seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelaburan dari China atas nama syarikat Citic Wealth Advisors Sdn. Bhd..

“Pada awal perbualan, suspek hanya memberikan tips pelaburan tempatan dan selepas beberapa hari, mangsa mendapati ramalan keuntungan diberikan adalah benar sehingga menyebabkan dia mula percaya terhadap skim pelaburan ditawarkan.

“Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi Global Finance Trends XA bagi tujuan pendaftaran keahlian dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh 6 April hingga 4 Mei lalu, mangsa melakukan 28 transaksi pembayaran berjumlah RM1.39 juta ke dalam akaun bank CIMB atas nama Citic Wealth Advisors Sdn. Bhd..

“Sepanjang tempoh itu, mangsa berjaya mengeluarkan keuntungan pelaburan sebanyak RM103,000 sekali gus menambah keyakinannya terhadap pelaburan tersebut.

“Mangsa bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan RM1 juta yang dipaparkan dalam aplikasi terbabit dan diberikan pelbagai alasan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Azizee berkata, seorang wanita tempatan berusia 72 tahun yang juga bekas pengarah syarikat kerugian RM1.4 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan menggunakan nama Shanghai Futures Exchange.

Katanya, mangsa mula berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi Facebook pada Julai 2023 sebelum suspek menghantar gambar kad pengenalannya bagi meyakinkan mangsa bahawa dirinya benar-benar wujud.

“Selepas itu mangsa mula percaya dan meneruskan perhubungan melalui aplikasi Line sebelum suspek menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

“Mangsa kemudian diminta melayari satu laman web melalui pautan diberikan bagi tujuan pendaftaran keahlian dan urusan pelaburan,” katanya.

Menurut beliau, antara 27 November 2025 hingga 5 Februari lalu, mangsa melakukan 53 transaksi kemasukan wang ke dalam 30 akaun bank berbeza membabitkan 26 akaun individu dan empat akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan RM1.4 juta.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM30 juta yang dipaparkan dalam aplikasi selain akaunnya disekat dan suspek gagal dihubungi.

“Kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast