KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu dikekalkan menggunakan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja tanpa pengecualian kepada mana-mana aliran termasuk UEC dan tahfiz.
Menurut beliau, semua pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke IPTA wajib mengambil SPM selaras dengan dasar pendidikan negara yang telah ditetapkan.
“Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz, nak masuk IPTA wajib SPM,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook beliau hari ini.
Akmal berkata, sebelum ini ramai lepasan UEC dan tahfiz telah mengambil peperiksaan SPM seperti biasa bagi melayakkan diri ke IPTA.
Justeru katanya, tiada keperluan untuk kerajaan membuka lebih banyak ruang pengecualian.
Beliau turut mengingatkan agar dasar pendidikan negara dipatuhi sepenuhnya dan tidak diubah sesuka hati sehingga menjejaskan sistem sedia ada.
“Tidak perlu kita buka lebih banyak ‘flood gate’. Dasar pendidikan negara perlu kita ikuti, bukan ditebuk sana sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















