PUTRAJAYA – Kelonggaran lepasan tahfiz mengikuti program di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan sekadar alasan untuk membuka laluan kepada calon Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman menegaskan, langkah itu demi memastikan lepasan tahfiz dan pemegang sijil UEC atau SMPC dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, berdasarkan merit dan kelayakan yang ditetapkan tanpa kompromi.
Sehubungan itu, katanya, langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi ruang dan peluang kepada dua golongan itu bukan mengiktiraf luar sistem pendidikan kebangsaan.
“Pelbagai pihak boleh memberikan pandangan tentang lepasan tahfiz hanya dijadikan sebagai alasan untuk kemasukan UEC), tapi bagi KPT, kami melihat bahawa ini adalah ruang dan peluang untuk kita buka laluan, bukan pengiktirafan.
“Kita melihat lebih ramai, mungkin untuk aliran agama kalau yang bersistem di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan sebagainya, mereka sistematik, ada silibus masing-masing, tetapi untuk mereka yang di sekolah pondok, dan sekolah agama lain hampir lebih kurang 50,000, ini ini yang kita nak beri mereka ruang untuk menyambung pengajian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke IPTA di sini hari ini.
Jelasnya, KPT yang bersifat inklusif mahukan akses pendidikan negara mengikuti Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035.
“Kita mahu buktikannya. Jadi kita perlu pastikan akses kepada kumpulan sasar itu boleh dicapai, antaranya adalah dua kumpulan sasar ini dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















