KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan pemimpin wanita, usahawan dan pembuat dasar antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah Forum Tahunan Ekonomi (WEF) ASEAN 2026 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober tahun ini..
Penganjuran forum berprestij itu dibawa oleh Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCARE) susulan kejayaan pelaksanaan WEF ASEAN 2025 yang menjadi platform penting memperkukuh jaringan kepimpinan dan ekonomi wanita di rantau ini.
Presiden YBCARE, Hartini Osman berkata, forum berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta termasuk delegasi wanita ASEAN dan antarabangsa.

“Kita jangkakan kehadiran keseluruhan lebih kurang seribu peserta kerana melibatkan semua rakan strategik. Dewan utama sahaja boleh memuatkan sekitar 400 orang dan terdapat kira-kira 10 bilik lain untuk pelbagai sesi forum.
“Program ini mampu menempatkan seribu peserta termasuk wanita dari ASEAN dan juga beberapa negara global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pra pelancaran Annual Women Economic Forum ASEAN & G100 Global Meet 2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Menurut Hartini, setakat ini lebih 10 negara telah mengesahkan penyertaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan program hanya akan berlangsung pada Oktober depan.
“Semua negara telah dijemput dan sehingga hari ini lebih 10 negara sudah bersetuju untuk hadir dan mungkin akan bertambah lagi,” katanya.
Forum selama empat hari itu dijangka menghimpunkan pemimpin wanita, usahawan, pelabur, penggubal dasar, inovator serta pencetus perubahan dari Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika, Amerika dan Oceania.
Antara pengisian utama forum termasuk ucaptama tokoh antarabangsa, perbincangan panel berprofil tinggi, sesi jaringan perniagaan, pengiktirafan anugerah, pameran perniagaan serta peluang kerjasama strategik.
Tema utama yang akan diketengahkan merangkumi kepimpinan wanita global dan tadbir urus, keusahawanan dan inovasi, pembangunan mampan (ESG), ekonomi digital, pelaburan antarabangsa, kesihatan dan kesejahteraan, kepimpinan belia serta pembasmian kemiskinan. – MalaysiaGazette
















