KUALA LUMPUR – Dasar baharu kerajaan yang membenarkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak bercanggah dengan tunjang dasar pendidikan negara.
Ini kerana menurut bekas AJK Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Syed Nasir berkata, syarat kemasukan ke IPTA masih mewajibkan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Katanya, kedua-dua subjek itu kekal menjadi komponen penting dalam pembentukan identiti nasional manakala syarat Bahasa Melayu pula selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) sering menjadi polemik apabila dibincangkan dalam konteks dasar pendidikan negara, malah tidak dinafikan turut dijadikan modal politik oleh pelbagai pihak.
“Namun begitu, persoalan yang timbul ialah sama ada pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam wacana Kementerian Pengajian Tinggi bercanggah dengan dasar pendidikan sedia ada atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, berdasarkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), sistem pendidikan Malaysia digariskan sebagai satu sistem pendidikan kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang menekankan keseragaman kurikulum, sistem penilaian, serta pembentukan nilai kenegaraan sebagai teras utama identiti nasional.
“Dalam konteks semasa, pengiktirafan UEC difahamkan hanya merangkumi bidang tertentu seperti Bahasa Cina dan Sastera Cina.
“Pada masa yang sama, syarat kemasukan ke IPTA masih mewajibkan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya lagi.
Bagaimanapun menurut Syed Mohd, terdapat pandangan dalam kalangan pemerhati pendidikan dan badan bukan kerajaan yang menyeru agar kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di bawah Akta 550.
Ini termasuk menilai dengan teliti sebarang bentuk kelayakan luar sistem kebangsaan agar tidak mengubah asas sistem pendidikan yang telah lama menjadi tonggak perpaduan negara.
Pendekatan tersebut katanya, bukan bertujuan menolak mana-mana sistem pendidikan, sebaliknya memastikan kerangka pendidikan negara kekal konsisten, tersusun dan berlandaskan undang-undang sedia ada demi kepentingan jangka panjang negara. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
UEC: Jangan gunakan nama aliran tahfiz untuk halalkan agenda lain – Sukri
















