Kesemua lelaki warga Indonesia itu didakwa atas pertubuhan melakukan rompakan bersenjata di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Lima lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang serta pisau di beberapa rumah kongsi dalam tapak pembinaan di negeri ini, pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, Didi Sugiarto, 28; Azhari, 35; Ajis Sukandar, 40; Fauji Hidayat, 41 dan Suharman, 44, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap enam lelaki yang terdiri daripada warga Indonesia dan tempatan di sebuah kuari di Padang Ibu Kubang Semang, Bukit Mertajam, jam 3 pagi pada 11 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap sembilan lelaki warga Bangladesh menggunakan sebilah parang serta pisau di rumah kontena Tapak Projek 1645, Jalan Kulim, Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam pada jam 3.30 pagi, 12 Mac lalu.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, semua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki dan perempuan warga Myanmar di Lot 610, 589, 579, 577 dan 105 Off Jalan Kampung Pengkalan, Sungai Bakap, dalam daerah Seberang Perai Selatan, jam 1.30 pagi pada 9 April lalu.

Mereka yang bersenjatakan parang ketika itu didakwa melarikan sebuah telefon bimbit jenama Vivo V5 5G Lite, sepasang subang emas dan sebuah telefon bimbit iPhone 17 Pro Max milik mangsa.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh selain memohon tempoh dua minggu bagi penetapan tarikh fakta dan hukuman.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan fakta kes dan hukuman terhadap semua tertuduh selain tiada jaminan dibenarkan.

ARTIKEL BERKAITAN

Pasangan kekasih antara 11 warga Indonesia direman kes samun bersenjata

Media pada 10 April lalu melaporkan seramai 11 warga Indonesia termasuk pasangan kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung lima kes samun bersenjata di rumah kongsi dalam kawasan tapak pembinaan sekitar Pulau Pinang.

Geng Rantau itu dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sejak awal tahun ini membabitkan beberapa daerah di bahagian tanah besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast