Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia memperkukuh peranannya dalam membentuk masa depan pembangunan bandar mampan pada Sesi Ke-13 Forum Bandar Sedunia (WUF13), yang akan berlangsung di Baku, Azerbaijan, bermula esok hingga 22 Mei ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang kini turut berkhidmat sebagai Presiden Perhimpunan Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHA) mewakili negara pada forum itu, sekali gus mencerminkan kepimpinan Malaysia yang semakin berkembang dalam memajukan agenda urban global.

Dianjurkan oleh UN-Habitat, WUF13 menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, pembuat dasar dan pakar bandar untuk membincangkan bandar mampan, daya tahan perumahan dan pembangunan bandar inklusif di tengah-tengah cabaran global yang semakin meningkat.

KPKT dalam satu kenyataan berkata, sepanjang forum tersebut, Kor Ming dijadualkan menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri mengenai Agenda Bandar Baharu (NUA), di mana Malaysia akan menyampaikan kenyataan negara serta mempengerusikan meja bulat di bawah peranan kepimpinan Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat.

Menurutnya, Kor Ming juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, negara-negara anggota serta pihak berkepentingan Agenda Habitat bagi memperkukuh kerjasama pelbagai hala dalam perumahan mampan dan pembangunan bandar.

Selain itu, katanya, Kor Ming juga akan secara rasmi melancarkan Pavilion Malaysia semasa Ekspo Bandar WUF13, yang akan mempamerkan inisiatif transformasi bandar negara, agenda perumahan mampu milik serta aspirasi bandar mampan.

Tambahnya, pelancaran itu juga akan disusuli dengan pengenalan Platform Agenda Bandar Asia Pasifik (AP-UAP), sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia ke arah kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam urbanisasi mampan.

KPKT melihat WUF13 sebagai platform penting bagi Malaysia untuk bertukar amalan terbaik, memperkukuh kerjasama antarabangsa dan meneroka penyelesaian bandar inovatif yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, ujarnya.

“Malaysia percaya bahawa pembangunan nasional yang inklusif akan dibentuk dengan menjadikan bandar dan komuniti kita bersedia untuk masa depan.

“Melalui WUF13, kita berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan global untuk membina bandar yang inklusif, berdaya tahan dan mampan demi generasi akan datang,” kata Kor Ming menerusi kenyataan itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast