Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertahankan keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menolak bidaan konsortium IJM-Aspen bernilai RM818 juta bagi pembangunan tanah di Ladang Byram/Changkat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat berasaskan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan serta pematuhan ketat terhadap syarat ditetapkan dalam proses Permintaan Cadangan (RFP) membabitkan kawasan seluas 559 ekar di Ladang Byram/Changkat.

“Nilai bidaan semata-mata tidak boleh dijadikan penentu kejayaan sesuatu tender sebaliknya pematuhan terhadap syarat utama RFP adalah prasyarat mandatori yang tidak boleh dikompromi.

“Konsortium IJM-Aspen gagal mematuhi lima daripada sembilan syarat utama dalam RFP 2024 melibatkan keperluan pembangunan, tempoh pegangan tanah, mekanisme pindah milik tanah, kaedah pembayaran Guaranteed Profit Sharing (GPS) serta syarat tambahan yang bercanggah dengan dokumen RFP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kon Yeow berkata, walaupun RFP menetapkan Plot A dibangunkan dengan komposisi 70 peratus industri dan 30 peratus pembangunan bercampur manakala Plot B sepenuhnya bagi industri, konsortium itu mencadangkan pembangunan 100 peratus industri.

Beliau berkata, konsortium berkenaan turut memohon hak milik bebas selama-lamanya berbanding pegangan pajakan 99 tahun seperti ditetapkan.

Jelasnya, ansyarat tambahan yang dikemukakan konsortium itu termasuk implikasi kewangan besar kepada PDC dan kerajaan negeri melibatkan kos infrastruktur RM150 juta, premium tanah pegangan bebas RM144 juta serta anggaran kos peluang RM25 juta membabitkan tapak kuari di Batu Kawan.

“Konsortium itu turut memohon hak penolakan pertama terhadap kira-kira 500 ekar baki tanah milik PDC selain mencadangkan perubahan struktur pegangan saham dan pindah milik tanah tanpa persetujuan PDC.

“Mengambil kira semua kos dan implikasi terlibat, pulangan bersih sebenar kepada PDC hanyalah sekitar RM500 juta dan bukannya RM818 juta.

“Pembatalan proses RFP ini juga tidak menyebabkan kerugian langsung kepada PDC kerana tiada kos pembangunan telah ditanggung dan tanah tersebut masih kekal di bawah pemilikan kerajaan negeri,” katanya.

Semalam berlaku pertikaman lidah terbuka antara Kon Yeow dan Lim Guan Eng berhubung pembatalan proses RFP berkenaan, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu mempersoalkan keputusan tidak meneruskan tawaran konsortium itu ketika sidang Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast