Dari kiri, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Datuk Mohd Yusri Othman; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob; dan Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah menunjukan barang rampasan kes curi kabel

KUANTAN – Kegiatan licik sekumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Acu’ yang dipercayai aktif mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak Mac lalu akhirnya tumpas selepas lima lelaki tempatan diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Azry Akmar Ayob dalam sepanjang tempoh Mac hingga April 2026, sebanyak tujuh kes kecurian kabel ECRL dilaporkan berlaku di negeri ini sebelum Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan melancarkan operasi khas memburu kumpulan terbabit.

“Hasil risikan dan operasi dijalankan, lima suspek lelaki warga tempatan berketurunan India berusia antara 29 hingga 44 tahun berjaya ditahan di sekitar Kuantan.

“Kumpulan ini dipercayai aktif melakukan kegiatan curi kabel ECRL dan dikenali sebagai ‘Geng Acu’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Menurutnya hasil saringan awal mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (METH).

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM100,000.

Antara yang dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Toyota Innova berwarna perak, kulit kabel yang telah dipotong sepanjang kira-kira 400 meter, sebuah alat pemotong besi (bolt cutter) serta beberapa unit telefon bimbit.

Azry berkata semua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Datuk Mohd Yusri Othman dan Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast