Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang dengan penahanan 23 suspek di sekitar Sarawak menerusi operasi khas Ops Pusak Merah pada 19 hingga 23 April lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata polis turut merampas senjata api jenis pump gun, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama, dua pedang samurai dan dua parang panjang dalam operasi yang dilaksanakan bersama JSJ Sarawak itu.

“Dengan penangkapan ahli-ahli kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lebih kurang 25 kes dan melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kumpulan yang aktif melakukan pelbagai kesalahan jenayah kekerasan sejak 2020 dan diketuai seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun itu mempunyai 26 orang ahli berusia dalam lingkungan 19 hingga 44 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang.

Beliau berkata antara kesalahan itu adalah kes rompakan sehingga mendatangkan kecederaan, khianat dengan api, menyebabkan cedera parah, rusuhan menggunakan senjata dan pemerasan di sekitar Sarawak.

Menurut Kumar, modus operandi kumpulan terbabit ialah melakukan pemerasan bagi tujuan mendapatkan wang perlindungan, serangan ke atas premis yang gagal membayar wang perlindungan, ugutan jenayah, mencederakan pihak yang enggan menurut kemahuan mereka, melakukan kesalahan serius untuk memperluaskan kuasa dan pengaruh serta mendapatkan faedah material bagi kumpulan.

“Kesemua 23 warga tempatan yang ditahan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu dituduh hari ini di Mahkamah Sesyen Kuching di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes bunuh, rompak berkumpulan, khianat dengan api, menyebabkan kecederaan dan cedera parah, ugutan jenayah, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, membuat laporan palsu, kegiatan rumah judi terbuka, memiliki barangan curi dan pengedaran dadah,” katanya.

Selain itu, Kumar berkata polis juga telah mengenal pasti identiti tiga lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha untuk mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Beliau berkata sejak menjawat jawatan Pengarah JSJ mulai Ogos tahun lepas, jabatan itu berjaya melumpuhkan sebanyak enam kumpulan jenayah terancang menerusi tindakan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan dengan 81 orang telah dituduh di mahkamah.

“Jabatan Siasatan Jenayah akan terus komited untuk mengambil tindakan dan menjalankan operasi berterusan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah, gangsterism serta jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast