Gambar hiasan

KUANTAN – Kerajaan Pusat tidak membuat sebarang bayaran secara langsung atau dalam bentuk pajakan tanah kepada Kerajaan Negeri Pahang berhubung kawasan yang telah diwartakan sebagai Taman Negara.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pewartaan kawasan tersebut adalah bertujuan pemuliharaan khazanah alam semula jadi negara, perlindungan biodiversiti serta pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar selaras dengan dasar dan peruntukan berkuat kuasa.

Namun, beliau berkata, Kerajaan Pusat melalui kementerian dan agensi berkaitan telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan pengurusan dan pembangunan bagi menyokong pentadbiran dan pengurusan Taman Negara di negeri ini.

“Antara skop perbelanjaan yang terlibat termasuk pembiayaan operasi pengurusan, penyelenggaraan dan penaiktarafan fasiliti pelancongan, pengurusan kawasan rekreasi dan ekopelancongan, penguatkuasaan dan kawalan biodiversiti, pelaksanaan program pemuliharaan habitat semula jadi serta lain-lain keperluan berkaitan kawasan Taman Negara.

“Selain itu, Negeri Pahang turut menerima peruntukan di bawah inisiatif Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang disalurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menyokong usaha pemuliharaan kawasan perlindungan dan pengurusan biodiversiti secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim bertanyakan tentang jumlah bayaran yang telah dibuat oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri terhadap tanah-tanah diwartakan sebagai Taman Negara dan Taman Negeri.

Wan Rosdy berkata, secara keseluruhannya, bagi tempoh tahun 2020 hingga 2025, jumlah peruntukan pengurusan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan operasi dan pentadbiran Taman Negara Pahang dianggarkan berjumlah RM30.5 juta.

“Manakala peruntukan pembangunan yang melibatkan projek penaiktarafan infrastruktur, penyelenggaraan fasiliti serta pembangunan kemudahan pelancongan dan konservasi dianggarkan berjumlah RM9.57 juta,” katanya.

Bagi tahun ini sahaja, beliau memaklumkan bahawa Taman Negara Pahang telah menerima peruntukan EFT dianggarkan sebanyak RM1.5 juta.

Peruntukan berkenaan digunakan untuk Projek Menaik Taraf Pejabat Sebagai Fasiliti Penyelidikan di Taman Negara Pahang, Sungai Relau, Lipis; Program Pemerkasaan Enakmen Taman Negara (Pahang) 1939; Projek Menaik Taraf Pejabat Sebagai Fasiliti Penyelidikan Di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan dan Kajian Pengumpulan Maklumat Iktiologi Untuk Ketetapan Kaedah Di Bawah Enakmen Taman Negara Pahang 1939 Di Taman Negara Pahang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast