KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuhkan kerjasama strategik yang sedia terjalin dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan kelancaran proses perundangan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kerjasama itu membabitkan pengendalian kes berskala besar, berprofil tinggi serta mempunyai kepentingan awam.
Katanya, setiap kes yang disiasat akan sentiasa dirujuk kepada AGC selaku pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa memutuskan tindakan undang-undang seterusnya.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memimpin, mereformasi dan memperkukuhkan SPRM,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di pejabatnya di sini, semalam.
Kunjungan hormat ke AGC itu merupakan agensi pertama oleh Abd Halim selepas beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei lalu.
Sementara itu, Mohd Dusuki menzahirkan penghargaan atas kesudian Abd Halim menjadikan AGC sebagai destinasi pertama kunjungan rasminya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
“Jabatan Peguam Negara dan SPRM berpisah tiada. Kerjasama yang terjalin akan diteruskan,” katanya.
Turut hadir Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Datuk Sri Saiful Edris Zainuddin dan Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud. – MalaysiaGazette















