SHAH ALAM – Keputusan Kabinet untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tahfiz melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi disifatkan sebagai langkah progresif yang mampu memperkukuh landskap pendidikan negara.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman menegaskan, setiap pelajar berhak memilih laluan pendidikan yang bersesuaian dengan bakat, kemampuan dan aspirasi masing-masing demi masa depan negara.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan negara, malah membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk membina masa depan lebih baik.
“Semua pelajar harus diberikan peluang adil untuk berkembang mengikut potensi masing-masing serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
“Malangnya masih ada pihak yang cuba mempolitikkan keputusan yang jelas dibuat demi kepentingan pelajar dan negara,” katanya hari ini.
Papparaidu berkata, isu pendidikan tidak seharusnya dijadikan bahan perbalahan politik sehingga menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
Sebaliknya, kata beliau, semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem pendidikan dan melahirkan lebih ramai bakat berkualiti untuk negara.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu berkata, rakyat Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan pemikiran lebih matang, inklusif dan berpandangan jauh.
Katanya, pendidikan seharusnya menjadi platform penyatuan rakyat dan bukannya alat untuk memecahbelahkan masyarakat.
“Kita perlu mengutamakan perpaduan, kemajuan dan pembangunan negara demi kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
















