TANGKAP layar video tular aksi `wheelie' penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya SPE.

KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki melakukan aksi ‘wheelie’ secara berbahaya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) membawa padah apabila ditahan polis awal pagi tadi selepas video aksi terbabit tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dua lelaki berusia 31 dan 36 tahun itu ditahan pada 6 pagi bagi membantu siasatan selain sebuah motosikal dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.

Beliau berkata semakan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 11 pagi, 9 Mei lepas di Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar menghala ke Putrajaya.

“Aksi berbahaya tersebut dipercayai dilakukan oleh dua penunggang motosikal jenis Ducati iaitu Ducati Hypermotard 950 berwarna merah dan Ducati Panigale berwarna hitam dalam satu konvoi motosikal yang sedang bergerak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata dua lelaki terbabit direman sehari bagi membantu siasatan dan pihaknya mengambil beberapa tindakan lain termasuk permohonan rakaman kamera litar tertutup dan dokumentasi motosikal yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast