Foto: FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Pemain kebangsaan yang didapati melanggar peraturan ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berisiko berdepan hukuman penggantungan daripada menyertai sebarang kejohanan, kata Presidennya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata cadangan hukuman itu dibuat bagi memastikan pemain di bawah naungan badan induk memiliki tahap disiplin yang tinggi.

“Bagi mereka yang tidak memenuhi standard disiplin lebih tinggi yang kita telah cadangkan, mereka mungkin akan diambil tindakan disiplin sewajarnya.

“Ini termasuklah tidak membenarkan mereka bermain (dalam kejohanan tertentu),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan dewan badminton Ampang Jaya Badminton Club (AJBC) hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei melahirkan kerisauan berkenaan masalah disiplin melibatkan pemain badminton negara.

Beliau berkata isu disiplin bukan perkara baharu dan perlu diberi perhatian serius jika skuad negara mahu kembali bersaing di peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, Zafrul berkata BAM ketika ini sudah menguatkuasakan beberapa peraturan baharu termasuk pemain yang belum berkahwin wajib menginap di asrama di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

“Satu daripada keputusan yang telah dibuat ialah untuk memastikan semua pemain kita termasuk pemain senior mestilah bersama-sama dengan pemain junior di asrama BAM kecuali mereka yang dah kahwin atau ada sebab tertentu,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast