SHAH ALAM – Dewan Pemuda PAS Selangor memberi bayangan akan terus menjalinkan kerjasama dengan Pemuda UMNO Selangor dalam isu melibatkan kepentingan Islam, Melayu serta mempertahankan institusi diraja Selangor.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kerjasama itu akan diteruskan selagi kedua-dua pihak mempunyai titik persamaan dalam agenda membela umat Islam dan rakyat.
“Insya-Allah pada perkara yang titik sama, untuk orang Islam, untuk orang Melayu, kita akan bekerjasama dengan semua pihak, terutama orang Melayu-Islam.
“Insya-Allah demi umat, demi rakyat, demi negara dan tanah air,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Mega Daulat Tuanku di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, pihaknya turut mempunyai pendirian yang selari dalam isu berkaitan kepentingan Melayu, Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu-isu berkepentingan Melayu, Islam dan juga kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Tak kira siapa rakan kongsi kita, kita akan bekerjasama dan menzahirkan tekad bersama-sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















