Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – MCA Johor menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak solo dengan bertanding di kesemua 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang merupakan satu keputusan terbaik, sekali gus disokong sepenuhnya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebagai parti komponen yang turut bermusyawarah dalam mencapai konsensus itu, MCA berdiri teguh serta menyokong sepenuhnya kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Jelasnya, Onn Hafiz disifatkan terbukti berjaya memimpin BN Johor dengan baik dan mentadbir negeri Johor dengan sangat cemerlang.

“MCA telah lama bersiap sedia dari pelbagai sudut baik kesiapsiagaan jentera mahupun bersedia dalam merangka strategi-strategi berkesan bagi memastikan BN kekal mempertahankan Johor dengan kemenangan besar pada PRN kali ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” kata Onn Hafiz dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast