KUALA LUMPUR – Kira-kira 130,000 unit kenderaan pernah terbabit kemalangan serius didakwa masih dijual dalam pasaran tanpa diketahui pembeli.
Menurut Pengasas bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, lebih separuh daripada angka itu didapati mempunyai unsur manipulasi termasuk penipuan kondisi serta bacaan meter perbatuan yang telah diubah.
Katanya, trend penipuan itu masih tidak menunjukkan perubahan meskipun kesedaran pengguna semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jika dahulu daripada 10 buah kereta yang membuat semakan dengan SCRUT, tiga buah kereta dilaporkan pernah terlibat dengan kemalangan serius, hari ini juga masih sama.
“Jumlah 30 peratus itu adalah tinggi jika jumlah keseluruhan pasaran sekitar 450,000 buah transaksi kereta terpakai dilaporkan setiap tahun. Maka sebanyak lebih kurang 130,000 buah kereta sebenarnya pernah terlibat dengan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebelum wujudnya platform semakan sejarah kenderaan, kebanyakan pembeli hanya bergantung kepada penerangan penjual tanpa sebarang pengesahan mengenai rekod sebenar sesebuah kereta.
Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, setakat ini hampir 43,000 pengguna berjaya mengelak daripada membeli kereta bermasalah.
Ia selepas semakan oleh para pembeli mendapati kenderaan terbabit mempunyai rekod kemalangan serius.
“Kita tidak tahu sepenuhnya apa yang berlaku selepas pelanggan membuat semakan, namun rekod menunjukkan kira-kira 43,000 kereta didapati pernah terlibat dalam kemalangan serius.
“Sekurang-kurangnya mereka sudah tahu keadaan sebenar kereta yang mahu dibeli. Sama ada mahu meneruskan pembelian atau tidak, itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, pengguna juga kini semakin berani membawa kes ke tribunal apabila mendakwa ditipu penjual kereta terpakai, termasuk menggunakan laporan pihak ketiga sebagai dokumen sokongan dalam tuntutan.
Malah katanya, tribunal pengguna baru-baru ini memutuskan kemenangan kepada seorang pembeli yang menuntut RM28,000 selepas mendapati kereta dibeli mempunyai masalah yang disembunyikan penjual, dengan laporan SCRUT turut dijadikan bahan bukti.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik pemasaran seperti “kereta pemilik pertama”, “dipakai wanita” atau “milik guru dan ustaz” kerana dakwaan sedemikian tidak menjamin kondisi sebenar kenderaan.
“Yang akan membayar ansuran selama lima hingga sembilan tahun adalah pembeli sendiri. Lebih baik laburkan sedikit masa dan wang untuk elak kerugian lebih besar pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















