WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) merancang untuk memperoleh sekurang-kurangnya tiga kapal selam nuklear setiap tahun sekali gus menggandakan kadar pembinaan semasa, menurut pelan pembinaan kapal tahunan perkhidmatan itu yang disemak oleh RIA Novosti.
Dari tahun fiskal 2027 hingga 2031, AS berhasrat untuk membina sekurang-kurangnya satu kapal selam peluru berpandu balistik nuklear kelas Columbia dan dua kapal selam kelas Virginia setiap tahun, menurut dokumen itu.
Sejumlah US$124.9 bilion diperuntukkan untuk pembinaan kapal selam dalam tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, AS$62 bilion akan membiayai lima kapal kelas Columbia, dengan bakinya diperuntukkan bagi sepuluh kapal selam kelas Virginia.
Tambahan US$6.2 bilion akan dilaburkan dalam membangunkan industri pembinaan kapal.
Sepanjang dekad lepas, limbungan kapal AS telah menghantar purata hanya 1.4 kapal selam serangan setahun kepada Tentera Laut.
Pada 2024, Tentera Laut AS memaklumkan penghantaran kapal selam kelas Virginia akan ditangguhkan selama dua hingga tiga tahun, menurut dokumen kongres yang disemak oleh RIA Novosti.
— BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
















