Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menghentikan tindakan menunda dan mengeluarkan kompaun terhadap kenderaan orang awam pada waktu malam di sekitar bandar raya itu.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sekiranya DBKK masih berdegil, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat perhimpunan aman di hadapan pejabat agensi pihak berkuasa itu dalam masa terdekat.

“Kami menerima pelbagai aduan daripada penduduk mendakwa kenderaan mereka ditunda atau disaman walaupun tidak mengganggu aliran trafik serta tidak menjejaskan pengguna jalan raya lain.

“Malah ada rungutan orang awam yang dikenakan saman pada hari Ahad ketika mengunjungi pasar tamu di sekitar Kota Kinabalu.

“Sekiranya tindakan saman dan tunda terus dilakukan, G57 tidak teragak-agak untuk menggerakkan demonstrasi aman di hadapan bangunan DBKK,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Zulkarnain berkata, hasil pemantauan mendapati, kebanyakan kenderaan yang dikenakan tindakan penguatkuasaan itu sebenarnya tidak menghalang laluan mahupun menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Isu utama yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan ialah kekurangan kawasan parkir awam yang mencukupi di bandar raya.

“Bukan rakyat sengaja mahu melanggar peraturan, tetapi ramai yang tiada pilihan kerana parkir awam tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, DBKK sewajarnya mengambil pendekatan lebih berhemah termasuk memberi peringatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan saman atau menunda kenderaan.

“Tindakan penguatkuasaan pada waktu malam dan hari Ahad jarang berlaku di bandar raya utama lain di Malaysia.

“Ini termasuk di kawasan sibuk sekitar Masjid India di Kuala Lumpur kecuali dalam keadaan tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Datuk Bandar Kota Kinabalu supaya segera menilai semula pendekatan penguatkuasaan terhadap orang awam.

“Rakyat bukan mesin duit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast