JOHOR BAHRU – Hubungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih berjalan baik walaupun berlaku ketekanan politik di beberapa negeri lain.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, politik negeri itu memilih jalan berbeza iaitu memilih kestabilan politik demi menjaga masa depan Pulau Pinang.
“Adalah amat penting memastikan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan (negeri antara PH dan BN) dapat diperkukuhkan. Bagi saya, ini adalah penting kerana rakyat hari ini mahukan kestabilan, pelabur mahukan kestabilan, anak muda yang mencari kerja dan masa depan juga mahukan kestabilan,” katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.
Kon Yeow berkata, sentiasa menjadi persoalan kepimpinan kerajaan adalah memilih untuk keputusan politik yang bersifat popular atau keputusan politik yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak memilih keputusan yang populis sebaliknya memilih untuk menjadi kerajaan negeri yang bertanggungjawab.
“Saya sebagai Ketua Menteri boleh sahaja memilih jalan mudah boleh menangguhkan keputusan-keputusan, boleh mengelakkan tindakan yang tidak popular, boleh memilih politik yang selesa demi menjaga sokongan menjelang pilihan rakyat.
“Tetapi, saya tidak memilih jalan ini sebaliknya memilih untuk meneruskan dasar dan keputusan penting demi (menjaga) kedudukan kewangan negeri, pembangunan infrastruktur untuk masa depan negeri Pulau Pinang walaupun sedar bahawa keputusan-keputusan tersebut mungkin membuatkan rasa tidak puas hati.
“Justru pada tahap ini sentiasa menjadi persoalan adalah keperluan memilih populariti ataupun kepentingan politik. Apa yang pasti inilah bezanya antara politik populariti dengan politik tanggungjawab,” katanya.- MalaysiaGazette
















