Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Johor sebagai antara negeri paling penting kerana hampir berdepan pilihan raya sekali gus menjadi medan utama untuk PH mempertahankan keyakinan rakyat.

Berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini, beliau berkata, keputusan mengadakan konvensyen nasional itu di Johor dibuat berdasarkan kepentingan strategik negeri berkenaan menjelang pilihan raya akan datang.

Menurut Menteri Dalam Negeri (KDN) itu, Johor kini mempunyai lebih 2.7 juta pengundi dengan pertambahan lebih 100,000 pengundi baharu berbanding pilihan raya lalu.

“Johor ada 2.7 juta pemilih, 1,114 daerah mengundi dan hampir 5,000 saluran mengundi. Di sinilah kita akan pertaruhkan peluang PH untuk memilih parti atau gabungan yang akan memimpin,” katanya.

Saifuddin berkata, pimpinan PH turut mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan wakil negeri dan parti sepanjang sesi perbahasan konvensyen itu termasuk pendekatan lebih keras atau sederhana dalam menghadapi pilihan raya.

Katanya, semua pandangan tersebut akan diperhalusi Majlis Presiden PH sebelum gabungan itu memutuskan strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Kita akan ambil kira semua pandangan. Sama ada yang mengambil sosok keras ataupun sederhana. Pimpinan akan terus berbincang secara adil dan saksama sebelum kita umumkan strategi terbaik,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Saifuddin turut mengimbas tiga fokus utama kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan iaitu kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, antara contoh jelas kejayaan dasar kerajaan di Johor ialah pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta usaha menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Menurutnya, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa kabinet khas bagi menangani kesesakan pintu masuk Malaysia-Singapura selain mempercepatkan pelaksanaan sistem pengurusan sempadan baharu yang lebih moden dan efisien.

“Kita mahu kesesakan menjadi sejarah. Pergerakan orang dan barangan mesti seamless kerana Johor sedang membangunkan satu wilayah ekonomi yang sangat besar bersama Singapura,” katanya.

Beliau turut mendedahkan sebanyak 66 peratus jumlah pelaburan yang masuk ke Johor dalam tempoh setahun lalu tertumpu di kawasan JS-SEZ sekali gus membuktikan strategi ekonomi kerajaan berada di landasan tepat.

Namun, beliau mengakui cabaran terbesar PH ketika ini ialah memastikan segala dasar dan pencapaian kerajaan dapat difahami rakyat di peringkat akar umbi menjelang pilihan raya.

“Tak boleh ada jurang antara dasar yang baik, program yang hebat dan manfaat kepada rakyat. Rakyat mesti faham apa yang kerajaan lakukan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast