Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN) yang dibuat sebelum ini tidak lagi relevan dan terbatal.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia ekoran MIC sehingga kini belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN yang dibuat pada 9 Disember 2025 walaupun telah beberapa kali diminta berbuat demikian.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PN yang dikendalikan Pengerusi PN, Datuk’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

Menurut Takiyuddin, mesyuarat yang sama juga menyatakan kesediaan PN menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan dukungan struktur dalaman dan sokongan yang sedia terbina termasuk pengalaman berada di dalam dan di luar Kerajaan sama ada sebelum atau selepas PRU 15.

“Namun begitu, sebagai gabungan politik yang realistik dan inklusif, PN juga terbuka untuk meneroka bentuk-bentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti dan pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan yang sama, selain berminat menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat memutuskan bahawa idea kerjasama politik ini akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syaratnya yang lengkap dan perlu.

“Pendekatan ini dipercayai lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara, selain mendukung kepentingan kerjasama politik yang konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan hidup rakyat yang kini lebih tertekan tanpa jalan keluar yang meyakinkan.

“Ia juga dilihat membuka ruang kepada semua pihak dan parti untuk terlibat secara aktif dalam proses politik negara secara lebih bermakna dan sihat menerusi sebuah kerjasama politik nasional yang rasmi, matang dan tertib,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast