PETALING JAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dibuat bagi mengelak sebarang tuduhan melanggar Akta Anti Lompat Parti selain memastikan beliau dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak terikat dengan bon RM10 juta.
Menurutnya, langkah drastik itu juga sebagai tanda menghormati mandat yang dimenangi atas tiket PKR dan Pakatan Harapan sebelum ini.
“Keputusan kami ini bagi membolehkan ia tidak dilihat sebagai lompat parti. Kerana kami menghormati mandat yang kami menang di atas tiket PKR dan PH dahulu maka kami mengosongkan kerusi itu,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan hala tuju politiknya di PJ Performing Arts Centre hari ini.
Petang tadi, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan kedua-dua mereka akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa esok.
Kedua-duanya memaklumkan perkara itu akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul esok, selain menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh mengenai keputusan meninggalkan parti pada Selasa ini.
Mereka turut mengumumkan akan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) bermula Selasa depan.
Rafizi menjelaskan, tindakan meletak jawatan sebagai ahli Parlimen sebelum menyertai parti baharu bermakna mereka tidak perlu membayar bon RM10 juta kepada PKR.
“Risiko berdepan saman PKR ataupun bon RM10 juta itu ialah kalau kami keluar parti dan masuk parti lain sebagai ahli Parlimen. Sebelum ini tidak ada ahli Parlimen yang sanggup mengosongkan kerusi kerana semua mahu kekal sebagai ahli Parlimen tetapi menukar parti.
“Jadi apa yang kami buat hari ini ialah memulangkan mandat kepada rakyat. Maka apabila kami keluar sebagai anggota PKR pada hari Selasa, ia tidak lagi terikat dengan bon,” katanya.
Mengulas kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK), Rafizi berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat mengikut perlembagaan.
“Sepatutnya selepas tempoh tiga tahun tidak perlu ada PRK, tetapi ada peruntukan yang membolehkan speaker menulis untuk mengadakan PRK jika kekosongan memberi kesan kepada majoriti kerajaan.
“Berdasarkan keadaan semasa, ia tidak terpakai kerana majoriti kerajaan berjumlah 150 kerusi tanpa kami berdua,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi mengumumkan beliau dan Nik Nazmi akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa pada PRU-16 menggunakan lambang parti baharu yang bakal diterajui beliau.
Tambahnya, Parti Bersama Malaysia juga dijangka bergerak solo pada PRU-16 dan merancang meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi parti politik lain.
“Saya yakin ramai wakil rakyat dan ADUN akan mula membuat pertimbangan apabila platform ini tersedia namun cabaran terbesar ialah kekangan Akta Anti Lompat Parti,” katanya. – MalaysiaGazette
















