Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff.

KUALA LUMPUR – Pas Selangor menyelar tindakan pihak-pihak yang biadap mengibaratkan fungsi Sultan Selangor sebagai `rubber stamp’ semata-mata.

Ketua Penerangannya, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, kesucian Institusi Diraja jelas meletak hak kuasa eksekutif kepada Sultan, namun ia boleh dijalankan oleh baginda atau oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, kuasa itu termaktub di bawah Perkara 50 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Ini bermaksud, Sultan Selangor tidak harus dipisah atau diasingkan daripada isu pentadbiran eksekutif, sehingga ada yang biadap menyatakan fungsi tersebut ibarat `rubber stamp’ semata-mata.

“Benar, mana-mana Tuanku Sultan dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bertindak atas nasihat, namun kuasa eksekutif yang terletak hak itu, harus sentiasa dihormati.

“Sementelah urusan kerajaan itu sendiri adalah `Urusan Seri Paduka Baginda’, ujarnya dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menegaskan, Sultan Selangor tidak boleh dianggap sekadar ‘rubber stamp’ atau formaliti dalam pentadbiran negeri, sebaliknya berperanan sebagai kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif.

Dalam kenyataannya, mereka berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara, selaras peranan baginda sebagai Raja Berperlembagaan.

Yusfarizal selanjutnya menjelaskan, Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah bebas dan berada di atas politik, tetapi mereka bukan di luar kerajaan.

Oleh yang demikian, katanya, kebebasan bersuara tidak harus disalahguna dengan sengaja untuk gagal memahami kedudukan dan kerangka undang-undang.

Tegas beliau, Akta Hasutan 1948 masih berkuatkuasa dan perbuatan mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada mana-mana raja, masih dianggap sebagai mempunyai kecenderungan menghasut.

Dalam hantaran itu, beliau menyatakan, Himpunan Daulat Tuanku tidak akan digerakkan semalam jika tidak kerana ucapan perbahasan titah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang terus-terusan menimbulkan cadangan penternakan babi di Selangor.

“Kalau tidak kerana hampir tiga kali baginda bertitah untuk menoktahkan isu penternakan babi, tidak kira berskala kecil atau besar, tidaklah kami berjalan ke Bangunan SUK untuk menyatakan taat setia.

“Kalau tidak kerana Sultan yang jelas mengarahkan “FULL STOP” terhadap isu babi ini, tidak perlulah rakyat Selangor bangkit mempertahankan kesucian Institusi Diraja ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast