KUALA LUMPUR – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengesahkan beliau tidak akan hadir ke Mahkamah Majistret Langkawi hari ini bagi berdepan pertuduhan berkaitan kes provokasi agama yang dikenakan terhadapnya.
Menurutnya, keputusan itu bukan kerana perasaan takut kepada kaum tertentu, sebaliknya mendakwa tiada apa yang akan berubah sekiranya beliau patuh pada undang-undang negara.
“Jika ada yang meletak harapan kepada negara ini apabila PAS memerintah, ketahuilah bahawa kes trisula ini berlaku di Langkawi, Kedah.
“Jika ada yang masih meletak harapan kepada Sultan yang memerintah, ketahuilah bahawa mereka tidak berapa kesah.
“Clearly, we are on our own,” katanya menerusi laman sosial Threads tamimuddari7 malam tadi.
Menerusi hantaran sama, Tamim Dahri turut berkongsi tangkap layar komunikasi beliau bersama seorang individu yang memintanya untuk hadir ke Mahkamah Majistret Langkawi hari ini, namun ditolak beliau.
Pada Mei lalu, Mahkamah Majistret Langkawi menangguhkan pertuduhan terhadap aktivis Tamim Dahri sehingga 15 Mei lalu selepas dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Majistret Hemy Annerina Haja Mydin menetapkan tarikh baharu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, memohon tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk membolehkan dia dibawa ke mahkamah.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret tersebut, pendakwaan memberitahu, Tamin Dahri yang dijadualkan didakwa keluar dari negara ini melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac.
Tamim Dahri telah dikesan ke Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand.
Walaubagaimanapun, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah belum dapat mengesahkan sama ada dia menggunakan visa pelancong atau visa umrah.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan empat individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy, akan didakwa berkaitan kes provokasi agama.
Selain Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy, dua lagi yang dituduh ialah Tamim Dahri dan P Mahendra Boopathy.
Tamim Dahri dituduh di Mahkamah Langkawi mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah. – MalaysiaGazette
















