Para perwakilan bersorak pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

KONVENSYEN Pakatan Harapan PH 2026 yang berlangsug di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di Johor Bahru melabuhkan tirai semalam dengan semangat politik yang terbakar dan meluap-luap.

Konvensyen ini dianggap penting kerana bukan sahaja menetapkan hala tuju kerjasama dengan gabungan politik lain tetapi juga kesiapsiagaan untuk mengorak langkah sederap sebelum pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).

Pada mulanya konvensyen ini dijangka kurang tegang atau panas. Namun sehari sebelum itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan BN akan bertanding solo dalam PRN Johor, sekali gus seakan-akan menyalakan api perseteruan.

Ruang perbahasan seakan disambar petir kesan daripada pengumuman Onn Hafiz itu yang mencuri tumpuan malah mengubah mood konvensyen dihadiri lebih 6,000 ahli parti komponen PH dari seluruh negara.

Selain melontarkan pandangan dan mengutarakan isu-isu semasa, konvensyen itu menjadi pentas cabar-mencabar, melampiaskan amarah, meluah isi hati yang tidak puas dan tidak kurang juga membuat ugutan terhadap BN.

Malah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap menawarkan kerjasama politik dengan penuh kebaikan, kesabaran dan kebijaksanaan kepada BN untuk berubah melaksanakan rundingan kerusi khusus dengan PH untuk PRN.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, jika tidak mahu bekerjasama selepas tawaran tersebut diberikan, PH akan tanding semua kerusi dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“PH akan tanding semua kawasan, di Johor, di Negeri Sembilan, di Selangor, semua kawasan Pulau Pinang, Pahang dan semuanya. Jika berunding dengan baik, demi politik stabil.

“Saya banyak bersabar sebenarnya. Tapi kamu pilih untuk tempur, apa pilihan saya?” ujar Perdana Menteri.

Begitu juga dengan tamparan keras diberikan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang mahu dan yakin gabungan itu mampu ‘menguburkan’ BN buat kali kedua pada PRN Johor akan datang.

“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN serta memerintah negeri ini. Insya-Allah dalam pilihan raya negeri kali ini kita akan kuburkan mereka kembali untuk kali kedua,” ujar Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu.

Bukan itu sahaja, laungan ‘tolak UMNO’, ‘pengkhianat’ dan ‘reformasi’ bergema hampir di setiap sudut dalam Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Suasana dewan beberapa kali bertukar panas apabila perwakilan dan penyokong bangun melaungkan slogan berkenaan ketika pemimpin utama PH menyampaikan ucapan masing-masing.

Antara laungan yang paling kuat kedengaran ialah “Tolak! Tolak! Pengkhianat!” dan “Tolak UMNO!” selain sorakan “Reformasi!” yang disambut beramai-ramai oleh hadirin.

Laungan tersebut kedengaran ketika sesi ucapan melibatkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengerusi PH Selangor; Datuk Seri Amirudin Shari; wakil PH Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.

Malah, beberapa ucapan pemimpin turut disambut dengan sorakan mempertahankan kerajaan PH di Negeri Sembilan susulan isu politik melibatkan sokongan terhadap kerajaan negeri itu sebelum ini.

“Kita akan pertahankan kerajaan PH Negeri Sembilan” jerit sekumpulan perwakilan ketika Aminuddin menyampaikan ucapan.

Jeritan tersebut lahir daripada ahli parti komponen PH yang jelas menolak BN terutama UMNO sekali gus merupakan representasi di peringkat akar umbi dan bukan retorika politik seperti dilaungkan pemimpin mereka menghalalkan hubungan terlarang dengan BN sebelum ini.

Ucapan Anwar dan reaksi penyokong ahli parti komponen PH itu seperti sedang membakar jambatan yang sedang dibina dengan BN dan seolah-olah juga satu deklarasi tidak rasmi dimenterai di Persada.

Perkembangan itu jelas menunjukkan ikatan kerjasama antara PH dan BN mula longgar dan bakal terlerai pada bila-bila masa terutama apabila ada isu baharu atau keadaan sedia ada bertambah buruk.

Adakah ini akan menjadi ‘Langkah Persada’ selepas ini dalam mengatur gerakan dan tumpuan politik menjelang PRU atau PRN nanti yang akan menjadi kenyataan?

Jika Langkah Sheraton pernah menjadi mimpi ngeri PH sehingga kerajaan pimpinan mereka tumbang selepas memerintah selama 22 bulan, adakah Langkah Persada juga akan panjang langkahnya dan sampai destinasinya atau tersadung di tengah jalan?

Bagaimanapun, selepas konvensyen tersebut, Anwar kelihatan seakan mula melakukan gencatan senjata apabila ketika berucap dalam program di Taman Desa Mutiara, Johor Bahru petang semalam, nadanya lebih kendur berbanding berucap dalam konvensyen tersebut.

Perdana Menteri berkata, beliau berhasrat menemui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang mengenai perkara tersebut kerana jika PH dan BN berebut kerusi, mereka yang berada di bawah akan bergaduh.

Ini merupakan satu petanda yang baik kerana PH dan BN saling memerlukan antara satu sama lain kerana kedua-duanya bukan parti dominan di peringkat Pusat.

Berbeza dengan konteks politik Johor kerana UMNO yakin kerajaan negeri yang ditadbirnya tidak akan tumbang selepas PRN dan masih boleh berdiri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast