GEORGE TOWN – Aliran pelaburan asing langsung (FDI), pelaburan domestik langsung (DDI) serta perbelanjaan awam yang kekal kukuh terus menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara ketika ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketiga-tiga faktor tersebut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatat 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.
Menurutnya, kadar itu turut melepasi unjuran awal sebanyak 5.3 peratus.
“Kita tengok suku pertama tahun ni, GDP kita masih kukuh lagi, 5.4 peratus, lebih tinggi pada unjuran awal yang 5.3 peratus.
“Kalau kita kupas apa dalam GDP tu, kita nampak FDI yang masuk telah mula membina GDP, DDI yang kita ada dalam negara pun masih banyak yang masuk dan juga public spending masih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Projek Intel Pelican di Bayan Lepas di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, kerajaan menerusi kerangka Ekonomi Madani sedang memastikan semua enjin pertumbuhan ekonomi negara terus bergerak lancar bagi mengekalkan momentum pelaburan.
Katanya, selain pelabur asing, pelabur domestik termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga semakin aktif melabur dalam negara kerana melihat peluang pertumbuhan yang lebih besar di Malaysia.
“GLIC dan GLC juga melabur dalam negara kerana peluang dia dah nampak banyak dan dia bergabung untuk meningkatkan lagi peluang yang ada kat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, usaha kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat turut membantu mengukuhkan perbelanjaan domestik termasuk menerusi kenaikan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum.
“Ini memberi ruang di mana perbelanjaan oleh masyarakat lebih tinggi dalam ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan terhadap sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor masih kekal tinggi ketika ini.
“Ekosistem industri yang kuat terutama di wilayah utara menjadi antara faktor Malaysia terus menarik pelaburan.
“Trend digital, data center dan AI masih kuat lagi dan fokus kerajaan ialah macam mana nak menguatkan lagi ekosistem, menarik pelabur, menjana pekerjaan yang baru serta memastikan mereka yang datang ni dapat menolong Malaysia berkembang di masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















