Bangunan Mahkamah Klang di Jalan Dato' Hamzah, Selangor.Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

KLANG – Seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan seorang penghantar p-panggilan cedera parah, minggu lepas.

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, penunggang motosikal Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, di Persiaran Kota di sini pada 12.35 tengah malam, 13 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli mencadangkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai, mengambil kira keseriusan kesalahan yang menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Bagaimanapun, peguam Ethan W. H. Tan yang mewakili Low merayu jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama ibu bapa yang uzur serta menghidap penyakit kencing manis dan kanser.

Majistret A. Karthiyayini membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan lesen memandunya digantung dan perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.

Prosiding pendakwaan hari ini turut dihadiri keluarga mangsa termasuk ibu Hamidah Othman, 54, dan tunang mangsa Nurul Syafiqah Ridzuan, 25. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast