Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan di kawasan Setiawangsa akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan susulan pengumuman Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan Ahli Parlimen Setiawangsa.

Menurut Hannah, beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud supaya memperkukuhkan peranan Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa bagi menangani isu-isu tempatan serta memastikan segala aduan dan keperluan penduduk terus diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, langkah itu termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya merujuk kepada pengumuman YB Nik Nazmi semalam untuk mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Setiawangsa. Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata beliau juga akan bekerjasama dengan semua pihak untuk meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding agar kawasan hijau berkenaan kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur demi manfaat penduduk setempat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast