KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Bau, Sarawak kerugian RM666 selepas dipercayai menjadi mangsa pemerasan susulan panggilan video lucah dengan seorang individu yang dikenalinya menerusi media sosial, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika penganggur itu berada di rumahnya di Jalan Jambusan, Bau.
Menurutnya, mangsa sebelum itu melayari Facebook sebelum memuat turun satu aplikasi dan berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai “Xiao Qi” melalui Telegram.
“Suspek kemudian bertanyakan sama ada mangsa berminat untuk melakukan hubungan seks, sebelum mengajak mangsa membuat panggilan video dan mengarahkan mangsa melakukan perbuatan lucah.
“Mangsa menurut arahan suspek, bagaimanapun tidak lama kemudian, mangsa diugut untuk membuat bayaran RM3,800 bagi mengelakkan gambar dan video peribadinya disebarkan kepada semua kenalan mangsa,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan portal UtusanBorneo hari ini.
Mohd Haide berkata, mangsa yang berasa takut seterusnya membuat pembayaran sebanyak RM666 menerusi aplikasi Touch ‘n Go ke satu akaun palsu yang diberikan suspek.
“Bagaimanapun, suspek memaklumkan bahawa jumlah tersebut masih tidak mencukupi dan meminta mangsa membuat bayaran tambahan.
“Mangsa enggan membuat bayaran lanjut dan membuat laporan polis untuk siasatan,” katanya.
Beliau menambah, suspek disyaki perempuan berbangsa China melalui loghat perbualan.
Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
















