Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika bercakap sidang media selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Bil 6/2026 di Parlimen Malaysia. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MEI 2026

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentang di Dewan Rakyat pada 22 Jun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelas beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (PSSC) mengenai pindaan tersebut hari ini sebulat suara bersetuju mengenai usaha kerajaan untuk mengasingkan peranan kedua-dua kuasa eksekutif tersebut.

“Saya berharap apabila kita bawa pindaan ini ia akan jadi satu pindaan bersejarah kepada negara kita di mana sejarah kewujudan Peguam Negara daripada kemerdekaan sampai sekarang kita wujudkan pemisahan antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Parlimen hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa yang juga dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kerana menyokong usaha tersebut.

“Dipersetujui oleh semua parti. Saya minta semua Ahli Parlimen pembangkang beri sokongan kepada kerajaan dalam hal ini kerana pindaan ini akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita mahu beritahu masyarakat inilah yang kita mahukan dalam sistem keadilan kita, iaitu pastikan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan. Saya harap ini akan jadi perubahan bersejarah,” ujarnya.

Sementara itu, Azalina secara berseloroh berkata, beliau berharap sebarang keputusan berkaitan parti politik dibuat selepas Rang-Rang Undang (RUU) Perlembagaan itu selesai dipinda.

“Saya harap apa juga keputusan berkenaan (politik) yang dibuat kepimpinan parti, bolehlah dibuat selepas persidangan Parlimen.

“Saya harap ia terjadi selepas pindaan AG-PP ini selesai, bukan sebelum itu,” katanya lagi yang dipercatyai merujuk kepada pembubaran Parlimen bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum.

Sebelum ini, Azalina menjelaskan bahawa pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi pendakwaan lebih bebas serta memperkukuh akauntabiliti.

Tambahnya, dalam masa yang sama ia membolehkan Peguam Negara dipertanggungjawabkan secara terus di Parlimen tanpa bergantung pada jawapan melalui menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast