Datuk Teng Chang Khim.

KUALA LUMPUR – Datuk Teng Chang Khim dilantik sebagai Pengerusi baharu SME Corp. Malaysia (SME Corp.) oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkuat kuasa semalam.

KUSKOP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Chang Khim merupakan lulusan Undang-undang, Universiti London serta pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Perdana.

Menurutnya, Chang Kim merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membawa pengalaman luas berkaitan industri dan bidang perniagaan, termasuk pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Invest Selangor Berhad.

Ujarnya, bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor itu juga mempunyai pengalaman dalam pembangunan PMKS menerusi tanggungjawabnya sebagai Exco Selangor dengan memegang portfolio Pelaburan, Industri Kecil & Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan (2014-2018) serta Industri dan Perdagangan (2018-2023) selain Kerajaan Tempatan, R&D dan Pengangkutan Awam (2013-2014).

“Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Informasi dan Ekonomi Digital Selangor; Naib Pengerusi Majlis Industri Halal Selangor dan Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS),” katanya.

Tambah kenyataan itu, SME Corp. menyambut baik pelantikan tersebut dan mengekalkan komitmen untuk terus memperkasakan PMKS di Malaysia, khususnya menerusi agenda penskalaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pada masa yang sama, ujarnya, SME Corp. juga merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Pengerusi, Tan Sri Bernard Giluk Dompok atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi sejak 1 April 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast