KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pemimpin sayap Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) Selangor yang bertindak meletak jawatan baru-baru ini disifatkan sebagai lumrah politik ekoran rasa kecewa kerana permintaan mereka gagal ditunaikan.
Ketua Pemuda Nasional PBM, Hanis Asmui berkata, peletakan jawatan berkenaan tidak menjejaskan kekuatan sayap itu secara keseluruhan.
“Sayap Pemuda PBM ketika ini kekal utuh dan apa yang berlaku hanya melibatkan sebahagian kecil sahaja keahlian di peringkat negeri tersebut.
“Saya mengambil maklum akan peletakan jawatan beberapa pemimpin sayap pemuda PBM di negeri Selangor. Saya juga dimaklumkan mereka akan menyertai Parti Bersama Malaysia.
“Mereka ini kecewa dan merajuk oleh kerana beberapa permintaan tidak dapat ditunaikan oleh parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai hala tuju parti, Hanis berkata, buat masa ini PBM memilih untuk terus memandang ke hadapan dengan penuh optimis.
“Fokus utama Pemuda PBM adalah menjayakan agenda pembaharuan parti yang lebih besar demi mematangkan struktur politik tanah air.
“Semangat optimis PBM kini tertumpu kepada pembaharuan strategik dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.
Terdahulu, PBM berdepan pergolakan dalaman apabila beberapa pemimpinnya di peringkat negeri dan bahagian bertindak meletak jawatan serta-merta.
Tindakan itu turut disertai Setiausaha PBM Selangor, Krishna Govinth yang menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam.
Krishna yang juga bekas Timbalan Ketua Penerangan PBM, membayangkan tindakan keluar parti itu tidak akan terhenti di situ sebaliknya mendakwa lebih ramai lagi pemimpin dan ahli akar umbi dijangka akan mengikut jejak langkah yang sama dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















