Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, cadangan penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan kuota subsidi diesel secara seimbang bagi memperkukuh kawalan ketirisan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan.

“Sehubungan itu, MTEN telah bersetuju perkara ini akan disusuli dan diperhalusi selanjutnya oleh KPDN.

“Berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April lalu, lebih 398,000 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS. Jumlah ini melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan sekitar 23,000 kenderaan pengangkutan awam,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, kerajaan turut menetapkan empat keutamaan utama dalam menguruskan krisis bekalan global bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia.

“Antara fokus utama kerajaan ketika ini adalah menjamin bekalan khusunya makanan tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan; seterusnya memanjangkan dan mengoptimumkan bekalan sedia ada melalui pengurusan subsidi, kawalan ketirisan dan penguatkuasaan.

“Kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha mengekang kenaikan harga supaya tekanan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat; selain memanfaatkan peluang baharu termasuk dalam biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif,” ujarnya.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap dalam Taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.

Tegas beliau, pendekatan kerajaan dalam menangani krisis semasa bukan bersifat reaktif semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan menerusi pemantauan mingguan, penyelarasan merentas kementerian dan semakan status tindakan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan sehingga 12 Mei lalu, sebanyak 24 kertas pembentangan merentasi 13 sektor ekonomi telah dibincangkan dengan 96 keputusan diminitkan menerusi mesyuarat MTEN yang telah bersidang secara berkala sepanjang krisis itu berlaku.

“Daripada jumlah itu, 11 keputusan telah selesai manakala 78 keputusan masih dalam pelaksanaan bagi memastikan setiap keputusan diterjemahkan kepada tindakan segera dan berkesan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh libat urus bersama industri, persatuan perniagaan, kementerian, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan lain supaya setiap maklum balas dapat dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.

“Walaupun kerajaan tidak dapat mengawal sepenuhnya harga minyak dunia dan konflik geopolitik global, kesiapsiagaan negara, ketepatan dasar serta keberkesanan pelaksanaan akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast