KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam, polis berjaya memberkas 15 individu termasuk pemilik kedai dipercayai terlibat membakar suar (flare) di atas sebuah Ford Raptor di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 30 tahun di sekitar Batu Caves, Kajang, Shah Alam dan Dengkil, Putrajaya oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Hasil siasatan mendapati, mereka melakukan aksi berbahaya membakar suar itu bertujuan mempromosikan kedai jualan pakaian yang masuk tahun keenam dengan membuat rakaman penggambaran.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik kedai berusia 24 tahun, pekerjanya dan lapan individu yang diupah untuk melakukan aksi promosi jualan pakaian mereka dengan kadar upah antara RM50 hingga RM700.
“Manakala seorang wanita berumur 24 tahun yang ditahan adalah pekerja kedai terbabit yang bertindak sebagai koordinator bagi penggambaran jualan pakaian itu,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Tambah Sazalee, dua motosikal ‘scrambler‘ yang dirampas merupakan milik salah seorang yang diupah untuk berlakon malah kenderaan Ford Ranger itu turut disewa daripada individu yang ditahan.
“Semakan ke atas motosikal scrambler itu didapati keluaran dari luar negara dan tidak boleh didaftar atas jalan raya dan hanya untuk kegunaan ‘off road’.
“Manakala hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dikeluarkan oleh Majistret Aina Mohamad Kamal.
“Kes kini disiasat Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecik 1995, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Pemilik motosikal itu juga akan dikenakan tindakan saman dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda RM10,000.
“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh tidak sampai 24 jam,” ujarnya.
Tegas beliau, tindakan seumpama itu boleh mengganggu keselamatan dan mengancam nyawa masyarakat sekitar dan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi serta bertolak-ansur dengan mana-mana kumpulan yang cuba menggugat ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















