Amir Hadi

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri mengarahkan peguam memulakan proses saman ke atas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi berkata, ia susulan dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat Muhammad Kamil pada 17 Mei lalu, yang mengaitkan Mandiri dengan penerimaan dana asing, dengan tujuan antara lain untuk propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, ancaman keselamatan negara serta proksi kepada kuasa asing.

Selain itu, Amir mendakwa, Muhammad Kamil turut menyebut bahawa terdapat tujuh transaksi sebanyak RM686,729 dibuat kepada Pengarah Eksekutif Mandiri serta beberapa yang lain yang turut dikaitkan dengan Mandiri.

Tambahnya, surat tuntutan (letter of demand) telah pun dihantar kepada Kamil Munim, melalui e-mel semalam, manakala LOD melalui serahan tangan akan dihantar kepadanya hari ini.

“Kami memberikan masa 48 jam, dari tarikh penerimaan LOD tersebut, buat Kamil Munim untuk menjawab dan membuat permohonan maaf berhadapan, secara terbuka.

“Sekiranya gagal, kami akan meneruskan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.

“Kami juga akan terus memantau akaun-akaun yang terus memainkan tuduhan fitnah ini, dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Kamil mendesak pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan dana asing disalurkan kepada ahli politik, individu dan pertubuhan tertentu bagi menggerakkan kegiatan politik yang berpotensi menggugat keselamatan dan kestabilan negara.

Muhammad Kamil berkata, dana berkenaan dikaitkan dengan pelbagai gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta penganjuran protes jalanan yang berniat mencetuskan sentimen antikerajaan bertopengkan agenda demokrasi dan hak asasi manusia.

Desakan itu timbul susulan laporan polis berhubung sebuah video tular yang mendakwa dana asing bernilai lebih RM1.5 juta telah disalurkan oleh sebuah kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat, Tides Foundation, kepada NGO Mandiri.

Bagaimanapun, Amir dalam kenyataan berbeza semalam menafikan dakwaan Muhammad Kamil itu dan menegaskan ersebut merupakan tindakan terdesak untuk mengalih perhatian daripada isu-isu semasa yang sedang melanda politik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast