PERMATANG PAUH – Pengalaman pembelajaran pelajar institusi TVET kini melangkaui sempadan negara apabila sekumpulan pelajar dari Kolej Komuniti Seberang Jaya di sini, menyertai Program Mobiliti Pelajar POLYCC Certificate & Diploma Level Malaysia–Indonesia 2026 yang melibatkan kerjasama bersama institusi di Indonesia.
Program selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei itu melibatkan kerjasama antara Kolej Komuniti Seberang Jaya; Politeknik Sultanah Bahiyah dan Politeknik Negeri Medan, sekali gus menjadi platform memperkukuh jaringan akademik, pertukaran budaya serta pembangunan kompetensi pelajar di peringkat antarabangsa.
Seramai 10 pelajar daripada Diploma Teknologi Elektronik Instrumentasi; Sijil Teknologi Elektrik dan Sijil Teknologi Mekanikal bersama 10 staf menyertai program berkenaan, selain turut disertai pensyarah dari Politeknik Sultanah Bahiyah.
Delegasi Kolej Komuniti Seberang Jaya diketuai Pengarahnya, Ts. Husaini Aza Mohd Adam.
Program mobiliti itu merangkumi pelbagai pengisian termasuk lawatan industri, perkongsian ilmu, pembentangan projek, bengkel inovasi serta aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan.
Antara aktiviti komuniti yang dilaksanakan ialah sumbangan barangan keperluan kepada anak-anak madrasah, gotong-royong menaik taraf bilik bacaan serta pemasangan lampu solar.
Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya, Ts. Husaini Aza Mohd Adam berkata, program tersebut memberi nilai tambah kepada pelajar dalam membentuk graduan TVET yang lebih berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran global.
“Program mobiliti pelajar ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, berfikiran global serta mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, Kolej Komuniti merupakan platform yang menyediakan laluan kerjaya bertaraf dunia serta berharap lebih ramai pelajar merebut peluang mobiliti antarabangsa pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, program mobiliti Malaysia–Indonesia ini dilihat berjaya memperkukuh hubungan pendidikan serantau serta memberi pengalaman pembelajaran holistik kepada peserta melalui pendedahan akademik, industri dan budaya rentas negara,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sijil Teknologi Elektrik, Aiman Danial Azwandi, menyifatkan penyertaan dalam program itu sebagai pengalaman bermakna yang banyak membentuk keyakinan diri.
“Pengalaman ini mengubah kehidupan kami kerana kami diuji untuk menguruskan diri, berinteraksi dengan komuniti antarabangsa dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya. – MalaysiaGazette
















