KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas hari ini ditahan dipercayai tersesat jalan sebelum didapati memandu melawan arus di Kilometer 10.8, Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) Petaling Jaya baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya telah mengesan video tular di media sosial memaparkan kejadian itu sekitar 1 tengah hari pada Selasa.
“Siasatan awal mendapati, wanita tempaatan berusia lingkungan 80an itu dipercayai tersesat jalan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar 9.30 malam pada Isnin.
“Suspek kemudiannya memandu secara melawan arus bagi mencari susur keluar dari Lebuhraya DASH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan kenderaan dipandu wanita berkenaan dengan mana-mana kenderaan atau objek lain.
“Suspek telah berjaya ditangkap dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pengguna jalan raya diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Tegas beliau, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“Orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jayseelan a/l Supaya di talian 018-2582531 atau IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita didapati memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH)- MalaysiaGazette















