KUALA LUMPUR – Premis perniagaan, kawasan sangkar ikan dan bot nelayan yang aktif beroperasi menjadi sasaran pemeriksaan fizikal menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan pematuhan Akta Timbang Sukat 1972 di Pulau Ketam dekat sini hari ini.
Operasi sekitar 10 pagi itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya serta Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat berkata, pemeriksaan itu memfokuskan tahap pematuhan serta kefahaman peniaga di Pulau Ketam bagi memastikan etika kawalan keselamatan penggunaan bahan api diesel diurus dengan baik.
“Ia membabitkan pematuhan penandaan harga, pemilikan dokumen sah berniaga barang kawalan, penggunaan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit barang kawalan berjadual seperti minyak masak, gula, tepung gandum, bahan api (petrol dan diesel) dan Liquefied Petroleum Gas (LPG).
“Pulau Ketam merupakan antara kawasan tarikan pelancongan serta aktif dengan aktiviti perniagaan restoran makanan laut dan peruncitan barangan keperluan harian pengguna malah penduduk pulau turut menjana ekonomi sara hidup dengan menjual hasıl tangkapan laut yang segar.
“Pemeriksaan ini merupakan satu isyarat kepada masyarakat bahawa, KPDN bersama agensi penguatkuasaan strategik amat komited dalam memantau rapi aktiviti perdagangan termasuklah yang berada di kawasan kepulauandan perairan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pendekatan pemeriksaan secara advoinspect turut dilaksanakan dengan penguatkuasaan berimbang melalui pemberian amaran kali pertama dan penerangan kepada peniaga melibatkan pematuhan tanda harga dan penggunaan alat timbang sukat.
“Amaran untuk kali pertama bagi ketidakpatuhan kali pertama oleh peniaga seperti gagal letak tanda harga, gagal tentusahkan alat timbang sukat yang digunakan untuk tujuan perdagangan.
“Peniaga turut diberikan penerangan atau advokasi secara terus oleh anggota pemeriksa bagi menerangkan serta membimbing peniaga untuk faham dan bertindak untuk buat pematuhan,” jelasnya.
Tegas Aris, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya selain hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















